Hari bersilih ganti, masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Tanpa disedari saya telah melalui empat bulan di sini. Sepanjang tempoh tersebut, selain memasuki kelas-kelas yang diperuntukkan oleh pihak sekolah, ada kala saya juga perlu merelief kelas-kelas yang lain. Pegalaman mengajar memang merupakan sesuatu yang meyeronokkan, terutama sekali apabila p&p kita mendapat reaksi yang positif daripada para pelajar. Namun, dalam keseronokan mengajar itu terdapat sesuatu pemandangan di bilik darjah yang amat menyakitkan mata saya. Mata saya bertambah sakit setiap kali saya melihat pelbagai contengan yang berupa lukisan, tulisan dan sebagainya di atas dinding-dinding, permukaan perabot dan sebagainya tidak kira di bilik-bilik darjah mahupun di makmal-makmal sains. Saya telah memerhatikan banyak kali di kelas-kelas yang pernah saya masuk, boleh dikatakan tidak ada langsung sebuah meja atau kerusi yang 100% sempurna keadaannya. Kalau bukan dicalar mestilah diconteng malah ada yang ditulis dengan kata-kata yang mencarut. Perbuatan sebegini merupakan vandalisme yang serius. Peralatan-peralatan yang ada di sekolah ialah hak milik kerajaan yang secara tidak langsung adalah milik hak kita juga . Kemudahan-kemudahan ini sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Tetapi, apa yang belaku adalah sebaliknya.
Pada pendapat saya ini berkait rapat dengan psikologi pelajar. Saya pernah menceritakan hal ini sewaktu kelas relief dan bertanyakan pendapat pelajar berkenaan masalah ini. Mereka memberikan alasan yang berbagai. Ada yang menyatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran, ada yang mengaitkan dengan kepuasan, ada yang mengaitkan dengan kurangnya kesedaran sivik, ada yang nengaitkan dengan keberanian dan bermacam-macam lagi. Sebagaimana yang kita sedia maklum, zaman remaja merupakan zaman yang penuh dengan pancaroba, terutama sekali mereka yang sedang meniti proses perkembangan remaja. Mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. Sering kali sesuatu tindakan negatif yang mereka lakukan bertujuan untuk menarik perhatian guru dan rakan-rakan sebaya yang lain supaya imej mereka lebih menonjol ata menunjuk hero. Selain itu, emosi remaja pada peringkat ini juga masih belum stabil. Mereka senang terpengaruh dengan kawan-kawan dan persekitarannya. Pengetahuan tentang punca sesuatu permasalahan adalah perlu dalam usaha mencari jalan penyelesaian yang berkesan. Kalau tidak, seakan-akanlah seseorang pesakit memakan ubat sesuka hati tanpa mengetahui jenis penyakit yang dihidapi. Pada akhir, penyakit tidak terawat, sebaliknya menjadi bertambah gawat. Kalau masalah ini tidak ditangani dengan baik , maka ia akan bersebati dengan jiwa dan menjadi darah daging mereka dalam kehidupan seharian. Hati akan berasa tidak puas kalau tidak merosakkan harta benta awam.
Berdasarkan pandangan saya, terdapat beberapa langkah berterusan yang perlu diambil untuk menangani masalah ini :
1) Pihak sekolah perlu memandang serius masalah ini. Guru disiplin perlu menyusun strategi yang lebih berkesan untuk mengesan pelajar-pelajar yang terlibat dan dikenakan tindakan yang sewajarnya. Ini boleh dilakukan dengan memperbanyakkan rondaan sewaktu masa rehat. Lebih ramai pengawas perlu ditempatkan di kawasan-kawasan “hitam”. Selain itu, pihak sekolah boleh mencontohi program yang mirip “Rakan Cop” Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana orang ramai boleh memberikan maklumat tentang sesuatu kegiatan jenayah melalui nombor talian tertentu. Dalam konteks ini, pelajar-pelajar khasnya dan guru-guru serta staf-staf sekolah amnya berperanan sebagai “:orang ramai” boleh menyalurkan maklumat berkenaan perbuatan vandalisme ini kepada pihak sekolah. Di samping itu guru-guru yang bertugas mingguan juga perlu lebih berwaspada dengan keadaan-keadaan di sekitar sekolah. Tugas mereka bukanlah meronda secara bersahaja sebaliknya perlu ada lebih kepekaan. Ini penting kerana banyak maklumat yang berguna boleh diperoleh sekiranya guru-guru bertugas yang berkenaan lebih peka.
2) Unit Bimbingan dan Kaunseling (B&K) sekolah perlu lebih kerap mengadakan ceramah untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang vandalisme dengan menekankan bahawa vandalisme merupakan suatu tindakan yang menyalahi undang-undang (Di Republik Singapura, pesalah vandalisme bole dihukum sebat) dan terkutuk di sisi agama. Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada pelajar yang berkecenderungan melakukan vandalisme. Mereka perlu diberi kaunseling yang sewajarnya. Guru B&K juga perlu menyimpan rekod-rekod kaunseling dan menganalisis punca berlakunya vandalisme di sekolah.
3) Pihak sekolah melalui PIBG perlu kerap mengadakan dialog dengan para ibu bapa untuk membincangkan isu-isu ini yang berlaku di sekolah termasuklah vandalisme. Ibu bapalah orang yang paling rapat dengan anak-anak mereka dan pendidikan di rumah memainkan peranan yang penting. Dengan adanya interaksi sebegini, pelbagi idea dan jalan penyelesaian yang efektif dapat dicari supaya pihak sekolah dan ibu bapa dapat menyelsesaikan masalah ini bersama.
4) Dari perspektif kendiri, saya juga boleh memainkan peranan dalam menangani masalah vandalisme ini. Untuk makluman, saya sentiasa berikhtiar untuk mengadakan sesuatu aktiviti yang bermanfaat semasa waktu relief. Bagi saya adalah satu pembaziran dari segi sumber masa dan tenaga sekiranya pelajar dibiarkan bebas melakukan sesuatu di bilik darjah. Ini kerana kebanyakan mereka tidak akan memanfaatkanya. Sudah menjadi kebiasaan saya akan mengisi masa itu dengan membincangkan isu-isu semasa remaja seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme, pergaulan bebas dan sebagainya yang akan memudaratkan bangsa dan negara. Mudah-mudahan ia akan menjadi ikhtibar kepada para pelajar. Dalam proses perbincangan ini, saya cuba menerapkan berbagai nilai-niali yang baik seperti jujur, sifat penyayang, hormat-menghormati dan nilai-nilai ketimuran yang lain. Mungkin ada orang yang akan memperlekehkan perbuatan saya ibarat mencurahkan garam ke laut. Namun bagi saya, “something better than nothing”.
Langkah-langkah tersebut memerlukan jangka masa pelaksanaan yang panjang dan berterusan. Dalam kebanyakan hal, sikap cepat sejuknya semangat menjadi punca utama kegagalan sesuatu usaha. Bak kata pepatah Melayu “hangat-hangat tahi ayam”. Ingatlah Kota Rom bukan siap dibina dalam sehari. Yang penting ialah tekad dan iltizam kita. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
4 comments:
Hello sir I'm glad sir berasa seronok kat "semesti" ni. Ha nanti bila dah siap semak kertas periksa b.i jangan lupa antar mel tau.
ok. tapi mungkin tak sempat semak kertas u orang. tangan saya ada accident sikit. i tolong orang tebang pokok kelapa, tangan i luka agak teruk kerana kena tali waktu tarik pokok kelapa
la kesiannyer kat sir....tak pa lah minggu depan mesti dah sembuh tangan tu....
hari ini ada kursus kat sekolah i pun tak dapat pi, ambil mc. semalam satu malam sakit tangan macam api bakarm, naik kelupas. minggu depan ada periksa lagi, belajarlah dengan bersungguh-sungguh, mesti akan berjaya.
Post a Comment